PIHAK produksi filem Konspirasi mengesahkan karya itu tidak lagi ditayangkan di seluruh rangkaian pawagam di Malaysia berkuat kuasa 28 Mei lalu, namun tayangannya di Singapura dan beberapa negara lain diteruskan seperti biasa.
Menerusi kenyataan yang dikongsi di Instagram (IG), Elepfilm Entertainment memaklumkan keputusan itu berkuat kuasa serta-merta dan hanya membabitkan pasaran Malaysia.
“Namun, tayangan filem Konspirasi di seluruh pawagam di Singapura dan negara lain tidak terjejas serta masih berjalan seperti biasa,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, pihak produksi tidak memperincikan sebab penamatan tayangan filem berkenaan di pawagam tempatan.
Sebelum ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengesahkan tayangan Konspirasi di seluruh pawagam negara ditamatkan mulai 28 Mei lalu atas permintaan pihak penerbit sendiri.
FINAS berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung perkara itu daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) serta Media Prima Berhad selaku pengedar filem yang berurusan dengan pihak pawagam.
Penamatan tayangan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat filem tempatan, terutama selepas karya berkenaan menjadi antara filem yang mendapat perhatian sejak ditayangkan.
Filem Konspirasi arahan Ghaz Abu Bakar diterbitkan Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films.
Konspirasi mengangkat kisah badan penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam misi berisiko tinggi membanteras jaringan rasuah dan kebocoran maklumat sulit.


