SEORANG penunggang motosikal maut selepas kenderaan ditungganginya terbabas sebelum terbakar dalam kejadian di Kilometer 71.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan dekat Pendang, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia 36 tahun yang berasal dari Taman Setia, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Pendang menuju ke Gurun ketika kejadian berlaku.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh di lorong kecemasan.
“Akibat kejadian itu, motosikal mangsa terseret ke hadapan sebelum terbakar.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Rodzi berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.56 petang.
Menurut kenyataan JBPM, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pendang dihantar ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.02 malam.





