Penyelia kilang rugi RM537,000 diperdaya sindiket menyamar ejen insurans, pegawai polis

SEORANG  penyelia kilang kerugian RM537,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai ejen insurans dan pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata anggota sindiket berkenaan telah menghubungi lelaki berusia 59 tahun itu pada 31 Ogos tahun lepas dan mendakwa mangsa bakal berdepan tindakan undang-undang setelah membuat tuntutan insurans palsu dengan sebuah hospital swasta di Selangor.

“Mangsa diarah supaya membuka akaun di sebuah bank tempatan dan memindahkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM400,000 ke dalam akaun baharu berkenaan.

“Lelaki itu juga diminta supaya menyerahkan akses penggunaan akaun berkenaan kepada suspek untuk mengelak ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata mangsa kemudian menyedari ditipu selepas usaha menghubungi suspek untuk mendapatkan perkembangan lanjut berhubung kes terbabit gagal.

“Selepas diperiksa, mangsa mendapati kesemua wang simpanan KWSP dalam akaun baharu telah lesap. Pemeriksaan lanjut mendapati berlaku 21 transaksi pemindahan wang ke lapan akaun berbeza dari 5 Sept hingga 11 Sept 2024,” katanya.

Mohd Razi berkata selain wang KWSP, mangsa juga telah membuat pindahan wang sebanyak 56 kali ke 30 akaun berbeza dari tempoh 9 Feb hingga 12 Sept 2025 berjumlah RM137,000 selepas diugut suspek.

Mohd Razi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img