Peringatan kepada Pengerusi baharu PN… banyakkan komunikasi, jangan ingat anda calon PM

ANALISIS

SOAL siapa calon bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) semakin rancak diperkatakan.

Tan Sri Abdul Hadi Awang dianggap calon sesuai memandangkan beliau adalah Presiden Pas. Tetapi juga ada yang mencadangkan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan mungkin juga ada beberapa calon lagi yang akan dicadangkan sebelum Majlis Tertinggi PN bermesyuarat.

Tidak kira siapapun yang akan dilantik tetapi individu tersebut perlu memahami ia adalah pengerusi kepada satu gabungan parti dan bukannya sekadar Presiden kepada partinya sahaja atau merasakan beliau mempunyai kuasa mutlak. Oleh itu apabila mahu membuat keputusan, ia mestilah diputuskan secara konsensus  oleh parti-parti gabungan dan bukannya mengikut kata-kata orang sekeliling atau parti beliau sahaja.

Jika itu dapat dilakukan sudah pasti tidak akan ada sebarang konflik yang boleh menjejaskan hubungan antara mana-mana parti dalam PN. Kesan krisis politik di Perlis harus ditangani segera. Tak payah mana-mana pemimpin atau individu dalam kedua-dua parti sama ada Pas atau Bersatu mahu menyalahkan satu sama lain.

Sebenarnya, kedua-dua parti ‘ada saham’ berikutan apa yang berlaku. Pas pun ada buat silap, Bersatupun ada buat silap tetapi pokok pangkal masalah ialah tiada koordinasi dan komunikasi di peringkat kepimpinan tertinggi PN.  Semua itu harus dijadikan iktibar dan menjadi pengajaran bermakna kepada sesiapa yang mahu menjadi pengerusi PN selepas ini.

Apa yang paling penting ialah kepimpinan tertinggi PN mesti ada komunikasi dengan ketua-ketua parti yang bergabung. Mesyuarat bulanan WAJIB diadakan. PN bukan blok kerajaan tetapi blok pembangkang, oleh itu mesti kerap bertemu supaya isu yang berbangkit diselesaikan secara dalaman manakala strategi disusun bagi memperkukuhkan kerjasama.

Kalau tiada mesyuarat peringkat tertinggi contohnya seperti Majlis Presiden macam mana PN mahu menyelesaikan masalah? Krisis di Perlis tidak akan berlaku, jika awal-awal lagi perbincangan dilakukan bagaimana mahu menangani desakan supaya MB Perlis diganti.

Kelemahan  komunikasi ini semakin ketara apabila lima ADUN Pas dan tiga ADUN Bersatu menandatangani akuan bersumpah mahu menarik sokongan terhadap Mohd Shukri. Macam-macam cerita kita dengar kenapa mereka berbuat demikian tetapi jika ada koordinasi dan komunikasi antara kepimpinan tertinggi sudah pasti masalah ini dapat diselesaikan dengan baik.

Selain itu, satu lagi perkara yang penting, Pengerusi PN tidak boleh sesuka hati membuat pelantikan dalam gabungan tersebut tanpa merujuk terlebih dahulu kepada parti-parti gabungan yang lain. Pandangan semua pihak harus diambil kira.

Kalaulah pelantikan seseorang itu boleh menjejaskan hubungan antara parti tidak perlulah lantik. Janganlah bila ada parti komponen membuat teguran terhadap sesuatu tindakan oleh parti Pengerusi PN, yang ada kait dengan PN, ia dianggap ‘masuk ke rumah kita..ajar kita macam mana susun bahan’.

Apapun yang berkaitan dengan PN harus dibincang dan diputuskan oleh Majlis Presiden atau Majlis Tertinggi PN, bukannya membuat keputusan dalam parti, kemudian mahu semua komponen mematuhi dan menghormatinya…tidak boleh begitu. Seperkara lagi  janganlah bila sudah menjadi Pengerusi PN, individu berkenaan atau orang-orangnya merasakan itulah calon Perdana Menteri (PM) untu PN.

Tanggapan atau tafsiran itu salah dan ini juga boleh mencetuskan perbalahan dalam PN. Adalah lebih baik jika calon PM diputuskan secara sebulat suara oleh parti-parti gabungan berdasarkan latarbelakang, pengalaman dan tiada apa-apa rekod dari segi integriti yang boleh dijadikan modal oleh lawan.

Secara jujur, penulis pendapat  biarlah Presiden-presiden parti gabungan PN sekadar menjadi anggota Majlis Penasihat Tertinggi  atau Majlis Syura yang diketuai oleh Abdul Hadi Awang manakala Pengerusi PN diberikan kepada individu lain sekaligus membolehkan  PN mengemukakan muka-muka baru sebagai calon PM.

Akhir sekali penulis pendapat, jika sudah rasmi Pas akan menerajui PN dan kalau ada mana-mana parti gabungan khususnya mewakili bukan Melayu ‘banyak songeh’ termasuk tidak selesa atau sebagainya  biarkan sahaja. Pengerusi PN tidak perlu merayu untuk mereka kekal atau menyertai PN, tumpu sahaja kepada usaha mengukuhkan sokongan orang Melayu. Itu lebih untung…

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img