PERJUANGAN kental, Marinette – satu-satunya daripada 42 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) belum ditahan oleh tentera Israel – berakhir pukul 3.30 petang hari ini.
Ia berikutan kapal itu dipintas oleh tentera Zionis itu selepas memasuki Zon Merah 2, iaitu 66 batu nautika atau lebih kurang 30 kilometer dari Gaza.
Perkara itu disahkan aktivis kemanusiaan Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
“Marinette : intercepted. Bermakna berakhirlah perjalanan seluruh peserta GSF gelombang pertama kita pada kali ini. Alhamdulillah, mereka berjuang dengan Sumud sehingga ke saat akhir,” katanya dalam perkongsian di Facebook.
Nadir berkata, tugas untuk membela nasib aktivis dan membangkitkan solidariti ke atas nasib Gaza terletak kepada barisan peguam The Legal Center for Arab Minorities Rights in Israel atau ADALAH dan seluruh masyarakat dunia.
“Kini tiba tugas peguam ADALAH dan tugas kita, menekan sehingga semua peserta dibebaskan dan genosid dihentikan. Bangkit!,” katanya.
Sebelum itu Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan hanya satu daripada 42 kapal menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang masih meneruskan pelayaran ke perairan Gaza.
Berdasarkan paparan skrin di SNCC, kapal Marinette ketika itu berada di zon kuning di perairan antarabangsa, namun tiada aktivis Malaysia di atas kapal berkenaan.
Kapal itu dilaporkan berada kira-kira 80 batu nautika dari Gaza malam tadi dan hanya 10 batu nautika dari lokasi Israel mula memintas bot lain dalam flotilla tersebut.


