ADAKAH Israel benar-benar jujur untuk menamatkan konflik di Gaza dengan mematuhi rancangan 20 perkara yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam.
Persoalan itut timbul apabila beberapa jam selepas pertemuan dengan Trump di Rumah Putih, Benjamin Netanyahu mengatakan tentera Israel akan kekal di kebanyakan wilayah itu.
Melalui rancangan 20 perkara tersebut, ia antara menyeru gencatan senjata, pembebasan tebusan oleh Hamas dalam masa 72 jam, pelucutan senjata terhadap Hamas dan pengunduran berperingkat Israel dari Gaza, diikuti oleh pihak berkuasa peralihan pasca-perang yang dipimpin oleh Trump sendiri.
Seorang pegawai kanan Hamas berkata semalam bahawa kumpulan itu belum menerima rancangan 20 perkara itu, tetapi perantara dari Qatar dan Mesir telah bertemu dengan Hamas untuk menyampaikan dokumen itu.
Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan Ketua Perisikan Mesir Hassan Mahmoud Rashad, perunding Hamas berkata mereka akan mengkajinya dengan niat baik dan memberikan respons.
Soalnya adakah jika Hamas bersetuju, adakah Netanyahu akan mematuhi semua rancangan tersebut? Ia memandangkan dalam kenyataan video yang dimuat naik di saluran telegramnya selepas sidang akhbar bersama Trump, Netanyahu berkata tentera Israel akan kekal di kebanyakan Gaza, dan juga berkata beliau tidak bersetuju dengan Negara Palestin semasa perbincangannya dengan Trump.
“Kami akan membawa pulang semua tebusan kami, hidup dan selamat, sementara (tentera Israel) akan kekal di kebanyakan Jalur Gaza,” kata Netanyahu.
Perjanjian itu akan menuntut Hamas untuk melucutkan semua senjata sepenuhnya dan dikecualikan daripada peranan masa depan dalam kerajaan, tetapi mereka yang bersetuju untuk “berhidup secara aman” akan diberikan pengampunan.
Tetapi bagaimana dengan jenayah perang yang dilakukan oleh Netanyahu? Adakah beliau akan dibebaskan begitu sahaja walaupun Mahkamah Jenayah Antarabangsa sudah menyenaraikan sebagai penjenayah perang kerana membunuh lebih 66,000 rakyat Palestin setakat ini?
Jika diperhatikan tingkah laku dan kenyataan Netanyahu ketika pertemuan dengan Trump jelas sekali Netanyahu hanya bersandiwara. Misi Netanyahu hanya mahu menghapuskan Hamas secara total sebab itulah dalam rancangan Perkara 20 Hamas dikehendaki meletakkan senjata.
Kepura-puraan Netanyahu semakin ketara apabila Trump menyatakan bahawa semasa pertemuan mereka, Netanyahu telah dengan tegas menentang sebarang kemerdekaan Palestin.
“Saya menyokong rancangan anda untuk mengakhiri perang di Gaza yang mencapai objektif perang kita tetapi jika Hamas menolak rancangan anda (Trump) atau jika mereka dikatakan menerimanya tetapi kemudian melakukan segala-galanya untuk menentangnya, maka Israel akan menyelesaikan tugas itu sendiri,’’
Trump berkata Israel akan mendapat “sokongan penuhnya” untuk berbuat demikian jika Hamas tidak menerima perjanjian itu.
Sebenarnya Netanyahu mahu memperalatkan rancangan Perkara 20 Trump untuk ‘menawan’ dan ‘menjajah’ tanpa perlu berhadapan dengan Hamas lagi yang telah diminta meletakkan senjata.
Soalnya adakah rancangan 20 perkara itu mahu menamatkan perang di Gaza atau membuka jalan untuk Israel menakluki bumi Palestin ‘secara terhormat’. Mungkin Trump dan Tony Blair ada jawapannya.



