Gangguan sistem bagasi di KLIA: MOT arah siasatan segera

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) diarah membuat siasatan berhubung kerosakan sistem pengendalian bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, petang semalam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya memandang serius kerosakan itu kerana gangguan menyebabkan kelewatan bagasi antara dua hingga empat jam bagi sejumlah besar penumpang yang tiba, dan kesulitan dialami amat dikesali.

“Walaupun saya mengambil maklum bahawa sistem BHS telah dipulihkan pada petang sama, pemulihan teknikal tidak bermakna perkara ini selesai. Penumpang yang melalui pintu masuk utama negara berhak mendapat tahap perkhidmatan yang boleh dipercayai dan insiden ini jelas gagal memenuhi kriteria ini.

“CAAM telah diarahkan untuk memulakan siasatan terhadap perkara ini dan meneliti sama ada tindakan berupa hukuman wajar dikenakan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) atas kegagalan dalam penyampaian perkhidmatannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anthony berkata, beliau mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan mengadakan mesyuarat tergempar bersama agensi berkaitan esok.

“Mesyuarat tersebut akan melakukan semakan menyeluruh terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang mengawal pengurusan kerosakan di lapangan terbang kita, dengan tumpuan khusus kepada masa tindak balas, komunikasi dengan penumpang, dan protokol pelan kecemasan,” katanya.

Tegas beliau, sebagai pintu masuk utama negara, ia tidak boleh berdepan kelemahan berulang seperti itu dan MAHB, sebagai pengendali KLIA akan dipertanggungjawabkan atas kerosakan tersebut.

Katanya, selain langkah pemulihan segera, insiden itu menunjukkan sesuatu yang perlu ditangani pada tahap lebih serius.

“Kita tidak boleh merealisasikan aspirasi kita untuk menjadi antara lapangan terbang terbaik dunia tanpa terlebih dahulu menyemai budaya kebertanggungjawaban yang sebenar dalam organisasi.

“Standard yang kita (sektor penerbangan) tetapkan untuk diri sendiri mesti dizahirkan melalui cara kita bertindak balas, cara kita mengakui kegagalan, dan cara kita memimpin sepanjang rantaian arahan.

“Jika kita serius dengan hasrat untuk menjadi lapangan terbang bertaraf dunia, kita juga mesti sama serius dalam memupuk budaya tanggungjawab yang setanding dengan aspirasi tersebut,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img