PAKATAN Harapan (PH) perlu beralih daripada politik yang terlalu bergantung kepada sentimen dan naratif masa lalu kepada politik yang menawarkan masa depan yang lebih meyakinkan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Jaringan Komuniti) Universiti Selangor (UNISEL), Prof. Madya Dr. Hamdan Mohd Salleh berkata, strategi yang digunakan pada 2018 perlu diperbaharui dan tidak boleh sekadar diulang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa pembentukan kerajaan kini memerlukan kerjasama antara gabungan, bukan lagi sekadar antara parti-parti politik.
“Saya melihat kenyataan Datuk Seri Amirudin Shari secara positif. Namun persoalan yang menarik ialah apakah yang dimaksudkan dengan gabungan politik baharu sedangkan PH sendiri sudah merupakan sebuah gabungan politik?” katanya.
Hamdan berkata, sejarah pilihan raya negara sejak 1999 menunjukkan evolusi politik Malaysia daripada dominasi satu gabungan kepada persaingan antara gabungan dan kini kerjasama antara gabungan.
Katanya, pada 1999, Barisan Alternatif mula mencabar dominasi Barisan Nasional (BN), pada 2008 BN kehilangan majoriti dua pertiga, pada 2013 BN kekal memerintah meskipun Pakatan Rakyat memperoleh undi popular lebih tinggi, pada 2018 PH berjaya menumbangkan BN, manakala pada 2022 tiada satu pun gabungan memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
“Namun kita perlu membezakan antara gabungan baharu dengan strategi baharu. Gabungan menjawab persoalan dengan siapa PH mahu bekerjasama, manakala strategi menjawab persoalan bagaimana PH mahu menang,” katanya.
Menurut Hamdan, PH perlu membina naratif baharu berasaskan keberhasilan pentadbiran, khususnya dalam menangani kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan dan mobiliti sosial.
Selain itu, beliau berkata PH perlu memperkukuh jentera akar umbi secara berterusan, bukan hanya ketika pilihan raya, serta memperbaharui pendekatan komunikasi politik dengan bahasa yang lebih mudah, dekat dengan rakyat dan berkesan dalam ekosistem digital.
“PH juga perlu memberikan perhatian kepada pemilihan calon berwibawa, penyelarasan strategi antara parti komponen serta keberanian menilai semula pendekatan yang kurang berkesan. Peningkatan sokongan pengundi tidak semestinya membawa kemenangan sekiranya gagal diterjemahkan kepada kemenangan kerusi,” katanya.
Dalam pada itu, Hamdan berkata menteri-menteri PH bukan sahaja perlu “perform”, tetapi mesti dilihat perform, dan perkara itu tidak seharusnya dibebankan semata-mata di bahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor.
“PH perlu membina kekuatan seluruh pasukan, dengan setiap pemimpin menyumbang kepada kecemerlangan pentadbiran, keyakinan rakyat dan kekuatan politik gabungan,” katanya.
Beliau berpandangan memperluas kerjasama politik merupakan langkah yang wajar diteroka, namun PRU akan datang bukan sekadar pertandingan antara gabungan terbesar.
“PRU akan datang bukan sekadar pertandingan antara gabungan terbesar, tetapi pertandingan antara siapa yang paling memahami perubahan rakyat, paling meyakinkan dari segi prestasi dan paling bersedia dengan strategi masa depan,” katanya.
“Gabungan baharu boleh memperkukuh matematik pilihan raya, tetapi strategi baharu dan prestasi yang meyakinkanlah yang akan memenangi hati rakyat,” katanya.





