PKR perlu memberi perhatian kepada tekanan ekonomi harian yang dirasai rakyat dan tidak hanya bergantung kepada angka ekonomi yang kukuh untuk menarik sokongan pengundi.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, angka seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar pengangguran, hasil kerajaan dan aliran masuk pelaburan hanya menggambarkan keadaan ekonomi secara keseluruhan.
“Angka ini menunjukkan gambaran ekonomi yang lebih luas, tetapi ia mungkin tidak begitu dirasai dalam kehidupan seharian rakyat biasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, rakyat lebih mengambil berat isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka seperti gaji, kos sara hidup dan harga RON95.
Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 25 kerusi, menunjukkan prestasi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sahaja tidak semestinya mampu mempengaruhi pengundi.
Fahmi menegaskan, kebimbangan ekonomi rakyat perlu ditangani bagi mengekang politik yang memainkan sentimen dan emosi mereka.
“Pilihan Raya Negeri Sembilan membuktikan kita berdepan keadaan apabila… emosi mengatasi prestasi.
“Jelas sekali, untuk menangani politik ketakutan, kita perlu memberi perhatian kepada isu yang dekat dengan rakyat,” jelas beliau.





