JURUTERBANG Malaysia yang ditahan kerana menyeludup lebih 26 kilogram dadah ke Indonesia akhir bulan lalu dipercayai sudah beberapa kali membawa dadah keluar dari Malaysia ke beberapa negara sejak 2024.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, maklumat itu diperoleh hasil soal siasat pasukannya terhadap juruterbang berkenaan di Jakarta.
“Dia terbabit sejak 2024 dengan peranannya membawa dadah keluar dari negara ke beberapa destinasi mengikut jadual penerbangannya.
“Ini bukan kali pertama kerana dia sudah beberapa kali membawa dadah ke beberapa negara,” katanya ketika dihubungi, lapor BH.
Menurut Hussein, juruterbang berkenaan turut mendedahkan maklumat mengenai beberapa sindiket dadah di Malaysia dan negara lain, termasuk Indonesia.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan lanjut terhadap anggota sindiket yang dikenal pasti, termasuk meneliti aliran kewangan berkaitan penjualan dadah.
Maklumat mengenai rangkaian sindiket antarabangsa itu turut akan disalurkan kepada agensi penguatkuasaan dadah di negara berkaitan.
Siasatan turut mendapati tiada petunjuk menunjukkan pembabitan orang dalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika juruterbang itu melepasi pemeriksaan.
“Hasil soal siasat mendapati tiada petunjuk menunjukkan pembabitan orang dalam di KLIA.
“Ini bermaksud dia bertindak secara solo ketika melepasi pemeriksaan dan perkara itu perlu diperhalusi bagi mengetahui bagaimana dadah berkenaan tidak dapat dikesan,” katanya.
Beliau berkata, PDRM setakat ini berpuas hati tiada pembabitan orang dalam dalam proses berkenaan.
Bagaimanapun, kaedah yang digunakan juruterbang itu untuk melepasi pemeriksaan tidak didedahkan bagi memastikan siasatan tidak terjejas.
Hussein berkata, juruterbang berkenaan masih ditahan Polis Republik Indonesia (Polri) dan perlu melalui proses undang-undang Indonesia.
Mengulas kemungkinan suspek diekstradisi ke Malaysia, beliau berkata, perkara itu membabitkan urusan kedua-dua negara dan enggan mengulas lanjut.
Ditanya mengenai jumlah penghantaran, negara yang menjadi destinasi serta upah diterima juruterbang itu sejak 2024, Hussein berkata, perkara berkenaan masih dalam siasatan.
Hussein sebelum ini memaklumkan, pasukan JSJN bertemu dan menyoal juruterbang berkenaan di Jakarta dalam sesi yang pada asalnya dijadualkan pada Rabu dan Khamis lalu, sebelum dilanjutkan hingga Jumaat dengan kebenaran Polri.
Beliau berkata, pasukannya mendapat kerjasama sangat baik daripada Polri sepanjang pertemuan itu, manakala suspek turut memberikan kerjasama.




