PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan perhatian serta memuktamadkan penyelesaian segera terhadap isu pengiktirafan kelayakan program Doktor Farmasi (PharmD).
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil maklum berhubung aduan dikemukakan pelajar bidang farmasi di Universiti Alexandria, Mesir berhubung isu ini.
“Ketika ini, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tidak mempunyai halangan terhadap pengiktirafan akademik program berkaitan.
“Bagaimanapun, pengiktirafan profesional untuk tujuan pendaftaran sebagai ahli farmasi memerlukan pertimbangan dan persetujuan Lembaga Farmasi Malaysia,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, isu pengiktirafan program pengajian luar negara yang pada awalnya ditawarkan melalui KPT menjerat sekurang-kurangnya empat pelajar Malaysia di Mesir apabila berdepan kebuntuan menjalani peperiksaan wajib, latihan praktikal serta meneruskan kerjaya sebagai ahli farmasi di negara ini.
Sehubungan itu, PMO menegaskan KPT dan KKM perlu menyelesaikan isu ini secara tuntas selaras dengan gagasan MADANI yang menuntut keadilan, ihsan dan kebijaksanaan dalam setiap keputusan yang menyentuh masa depan rakyat.
“Perkara ini perlu diselesaikan segera demi kepentingan pelajar, tanpa menjejaskan standard profesional yang ditetapkan bagi bidang farmasi,” kata kenyataan tersebut.


