POLIS masih menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sama ada pertuduhan terhadap seorang lelaki yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk dan melawan arus sehingga meragut nyawa seorang penunggang motosikal akan dipinda atau dikekalkan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.
“Kertas siasatan sudah hantar, tunggu arahan lanjut dan keputusan TPR,” katanya ringkas.
Sebelum ini, keluarga mangsa, Allahyarham Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, dilaporkan mendesak pihak berkuasa mempertimbangkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh terhadap tertuduh.
Bapa mangsa, Amirul Nizam Abdul Aziz, 49, dilaporkan berkata, laporan perubatan hospital mengesahkan kematian anaknya berpunca daripada kecederaan yang dialami akibat kemalangan tersebut.
Terdahulu, tertuduh, Low Kean Peng, 35, mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan memandu dengan kandungan alkohol sebanyak 196 miligram bagi setiap 100 mililiter darah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Persiaran Kota, Klang pada pukul 12.35 pagi, 13 Mei lalu.
Kes berkenaan mendapat perhatian ramai susulan kemalangan membabitkan pemanduan melawan arus yang mengorbankan Zulfiqar dan mencetuskan desakan supaya tindakan lebih tegas diambil terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.


