PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan beberapa berita baik untuk rakyat menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menerusi Taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung melalui Facebook hari ini.
Beliau berkata, pengumuman itu selaras dengan tekad Kerajaan MADANI dalam mendengar keluh kesah rakyat selain terus berusaha sedaya upaya bagi memastikan kebajikan menjadi keutamaan.
“Kerajaan MADANI akan terus berusaha sedaya upaya memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, selaras dengan tekad untuk membina sebuah negara yang lebih adil, sejahtera dan berperikemanusiaan.
“Insya-Allah, YAB Perdana Menteri juga akan mengumumkan beberapa lagi berita baik buat rakyat dalam masa terdekat menjelang sambutan Aidilfitri,” jelasnya.
Tambah Tunku Nashrul, pengumuman itu menyusul selepas tujuh langkah intervensi segera Kerajaan MADANI diumumkan Perdana Menteri hari ini.
Ia bagi memastikan hasrat rakyat dapat membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih tenang dan bermakna.
“Sebagai imbasan, antara pengumuman utama YAB Perdana Menteri pagi tadi termasuklah pengkreditan awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa bermula esok, penyaluran Bantuan Khas Kewangan 2026 melibatkan penjawat awam, pesara dan veteran, selain imam, bilal, guru KAFA dan sebagainya.
“Pagi tadi juga kita mendengar bahawa peluasan siri Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara akan dilakukan, selain peluasan inisiatif subsidi tiket penerbangan FlySiswa.
“Ini merupakan antara pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri pagi tadi, di mana tujuh perkara kesemuanya telah pun diumumkan,” katanya lagi.


