PM dukacita pemergian Dr Kharazi, desak krisis Asia Barat dihentikan segera

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa dukacita atas pemergian bekas Menteri Luar Iran, Dr Kamal Kharazi yang maut akibat serangan Zionis susulan konfik di negara berkenaan baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, beliau mula mengenali Dr Kharazi ketika pemimpin itu berkhidmat sebagai wakil Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Menurut beliau, hubungan baik antara mereka itu kemudian berterusan dalam pelbagai urusan sepanjang perkhidmatan Dr Kharazi sebagai Menteri Luar Iran sehingga beliau bersara.

“Saya amat berdukacita apabila mengetahui mengenai pemergian Dr Kamal Kharazi, bekas Menteri Luar Iran yang meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam serangan pengganas Zionis,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Menurut Anwar, beliau secara peribadi kehilangan seorang sahabat dan dunia hilang seorang diplomat yang mempunyai pengetahuan luas.

Kata beliau, pemergian Dr Kharazi menjadi peringatan betapa besarnya harga kemanusiaan akibat konflik yang melanda ketika ini dan peperangan perlu dihentikan segera.

“Beliau seorang memiliki ilmu yang sangat tinggi, mempunyai keperibadian yang baik, sentiasa berfikiran secara mendalam dan berbudi bahasa.

“Dunia kehilangan seorang diplomat yang luar biasa dan saya kehilangan seorang sahabat karib. Takziah yang tulus ikhlas saya ucapkan kepada keluarga beliau dan seluruh rakyat Iran,” katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan kediaman Dr Khazari di Tehran menjadi sasaran serangan udara menyebabkan beliau cedera dan isterinya maut pada 2 April lalu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img