SEORANG bekas penjaga stor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Batu Pahat hari ini atas pertuduhan mencederakan anak tiri lelakinya dengan merotan kerana didakwa mencuri RM30 untuk membeli bunga api dan permainan dalam telefon bimbit ibunya.
Tertuduh yang berusia 28 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu sebagai individu mempunyai pemeliharaan didakwa mengabaikan anak tiri lelaki berusia 11 tahun sehingga menyebabkan kecederaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Tongkang Pechah pada jam 11 malam, 15 Mac lalu.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila mangsa mencuri wang ibunya berjumlah RM30 serta menggunakan telefon bimbit untuk membeli permainan.
Perbuatan itu menimbulkan kemarahan tertuduh sebelum dia bertindak merotan mangsa hingga menyebabkan kesan lebam, yang turut disaksikan ibu kanak-kanak itu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan.
Selain itu tertuduh diperintahkan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.


