PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan penghargaan kepada Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi atas usaha mempermudah penyaluran bantuan kemanusiaan Malaysia kepada rakyat Palestin, termasuk membawa mangsa yang cedera dari Gaza ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Anwar berkata Mesir telah memberikan sokongan yang besar kepada inisiatif kemanusiaan Malaysia, dengan penyelarasan bantuan dilakukan menerusi pejabat Presiden Mesir dan risikan ketenteraan negara itu.
Meskipun sumbangan Malaysia tidak seberapa berbanding usaha kemanusiaan Mesir yang lebih meluas untuk rakyat Palestin, Perdana Menteri berkata kerjasama Kaherah memainkan peranan penting dalam membolehkan bantuan berkenaan disalurkan.
“Saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa anda telah banyak membantu kami dalam pelbagai usaha menyalurkan bantuan, walaupun dalam skala kecil dan tidak setanding dengan apa yang telah dilakukan oleh Mesir.
“Anda telah banyak membantu rakyat Palestin, tetapi kami juga berusaha membantu … dan kami mampu melakukannya dengan bantuan anda serta pejabat anda,” kata beliau pada sidang media bersama El-Sisi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini.
Sementara itu Malaysia dan Mesir memeterai empat memorandum persefahaman (MoU) yang merangkumi pemerkasaan wanita, pendidikan tinggi, pelancongan dan pelaburan ketika kedua-dua negara dalam usaha memperkukuh kerjasama dua hala selepas lebih enam dekad menjalin hubungan diplomatik.
Pemeteraian MoU itu bersempena dengan lawatan negara El-Sisi ke selama dua hari, yang dijangka mencetuskan dorongan baharu kepada usaha meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik.
MoU mengenai pemerkasaan wanita ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Mesir, dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mewakili Malaysia, manakala Menteri Luar, Kerjasama Antarabangsa dan Ekspatriat Mesir Dr Badr Ahmed Mohamed Abdelatty mewakili Mesir.
Kedua-dua pihak turut menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, yang diwakili oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Abdelatty.
MoU ketiga berkaitan kerjasama pelancongan turut diwakili oleh Abdelatty bagi pihak Mesir, manakala Malaysia diwakili oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili Malaysia untuk pertukaran MoU antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan Pihak Berkuasa Am bagi Pelaburan dan Zon Bebas Mesir. Mesir diwakili oleh Menteri Pelaburan dan Perdagangan Luar Dr Mohamed Farid Saleh.
Kesemua pertukaran MoU itu disaksikan oleh Anwar Ibrahim dan El-Sisi selepas mesyuarat dua hala dan pertemuan empat mata.
Mesyuarat itu merangkumi usaha memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama, selain perkembangan serantau dan antarabangsa.
Cadangan untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik dijangka memperkukuh kerangka kerjasama antara kedua-dua negara.





