SEORANG penghuni pusat jagaan warga emas berusia 84 tahun cedera selepas sebuah kren terbalik lalu menghempap bumbung asrama di Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, tengah hari tadi.
Mangsa mengalami kecederaan di kepala sebelum dihantar ke hospital oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan.
Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu tidak menyebabkan kecederaan kepada 48 penghuni dan pekerja lain yang berada di premis berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.38 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam dikejarkan ke lokasi.
“Siasatan awal mendapati kren diparkir di permukaan tidak rata dan dipercayai hilang kestabilan sebelum terbalik dan menghempap bumbung asrama pusat jagaan warga emas itu,” katanya.





