PELAN Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggariskan 429 ikhtiar menerusi 35 strategi bagi menangani tekanan kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam tempoh lima tahun.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelan itu menjadi kerangka tindakan nasional bagi menyelaras pelaksanaan pelbagai inisiatif berkaitan kos sara hidup merentasi kementerian dan agensi kerajaan.
Beliau berkata, NCLAP30 memberi tumpuan kepada dua keutamaan utama, iaitu meningkatkan pendapatan rakyat serta menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan asas.
Menurutnya, pelan berkenaan merangkumi lapan kluster strategik, iaitu pendapatan, makanan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, perumahan, utiliti dan umum, dengan pelaksanaan turut melibatkan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat.
Beliau berkata, pelan itu merangkumi usaha meneruskan dan menambah baik inisiatif sedia ada, termasuk komitmen fiskal kerajaan, selain memperkenalkan ikhtiar baharu bagi menangani isu kos sara hidup.
“Ia juga bersifat dinamik bertujuan memastikan pelan tindakan berkenaan kekal relevan dan boleh disesuaikan dalam mendepani cabaran domestik selain ketidaktentuan geopolitik serta geoekonomi global,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran NCLAP30 di Kompleks Sukan Hang Jebat di Melaka hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Perdana Menteri dan turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh.
Armizan berkata, pelan itu turut diselaraskan dengan hala tuju dasar utama negara, termasuk Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diberikan mandat lebih luas untuk memantau pelaksanaan semua ikhtiar berkaitan kos sara hidup merentasi kementerian dan agensi kerajaan.
Katanya, peranan NACCOL sebelum ini tertumpu pada penelitian dan pertimbangan inisiatif baharu serta isu berkaitan kos sara hidup, namun kini turut merangkumi pemantauan menyeluruh terhadap pelaksanaan inisiatif yang digariskan.
“Matlamatnya adalah supaya 429 ikhtiar sara hidup yang digariskan ini dapat dilaksanakan dengan sehabis baik, secara teratur, bersasar dan tidak ada pertindihan untuk mencapai keberhasilan yang optimum,” katanya.
Armizan berkata, kerjasama sektor swasta, NGO dan masyarakat juga penting bagi memastikan manfaat setiap inisiatif dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh.





