KERAJAAN dijangka menanggung subsidi bahan api antara RM42 bilion hingga RM45 bilion setahun susulan kenaikan harga minyak antarabangsa, meningkat berbanding anggaran RM40 bilion sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun harga minyak dunia meningkat hampir dua kali ganda, kerajaan masih mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter bagi melindungi rakyat daripada beban kos sara hidup.
“Masa saya melancarkan Belanjawan tahun lalu, satu tong minyak AS$70. Pagi ini, satu tong minyak sudah mencecah AS$120 hingga AS$130. Maksudnya, dua kali ganda.
“Tapi alhamdulillah, dalam keadaan harga minyak naik dua kali ganda, Malaysia kekal dengan harga RON95 pada RM1.99 seliter,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih MADANI dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) di Kompleks Sukan Hang Jebat di Melaka hari ini.
Anwar berkata, kerajaan memilih untuk menanggung peningkatan kos subsidi bagi mengelakkan rakyat berdepan kenaikan perbelanjaan harian sekiranya harga bahan api dinaikkan mengikut pasaran.
“Ada yang di Parlimen berkata, langkah ini membebankan kerajaan. Saya jawab, lebih baik kerajaan terbeban daripada membebankan rakyat. Itu dasar Kerajaan MADANI yang kita pegang,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kenaikan harga bahan api boleh meningkatkan perbelanjaan harian pengguna, termasuk kos menghantar anak ke sekolah dan perjalanan ke tempat kerja.
“Kalau kita naikkan harga minyak ikut pasaran, tiap hari, perlu tambah RM2, RM3, minimum RM5 setiap hari. Misalnya hantar anak ke sekolah. Dia pergi kerja. Itu tiap hari RM10,” katanya.
Beliau berkata, kenaikan harga minyak perlu diuruskan secara bertanggungjawab supaya kesejahteraan rakyat terus terpelihara tanpa menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negara.
“Ini harus kita tangani dengan baik, kalau kita tidak bertanggungjawab, nak ikut selera orang sahaja, pelabur tidak akan datang. Itu akan menjadi masalah,” katanya.





