DATUK Seri Anwar Ibrahim tiba di New Delhi hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang dihoskan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan delegasi mendarat di Pangkalan Tentera Udara Palam di New Delhi pada jam 6.30 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).
Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Pelbagai Hala) Kementerian Luar, Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad; Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke India, Sharifah Ezneeda Wafa; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Dr Mohd Shaharin Umar dan Atase Pertahanan, Kolonel Dr Nizlan Mohamed.
Turut menyambut Perdana Menteri ialah Menteri Hal Ehwal Luar merangkap Menteri Alam Sekitar, Hutan dan Perubahan Iklim (Menteri Pengiring), Kirti Vardhan Singh; Setiausaha Tambahan Kementerian Hal Ehwal Luar, Prashant Agrawal dan Komodor Udara AFS VSM, Rishabh Mittal.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, lapor Bernama.
Sidang kemuncak itu yang akan dihoskan oleh Modi membawa tema ‘Membina Ketahanan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan’, dengan tumpuan kepada pengukuhan daya tahan, kerjasama ekonomi serta pembaharuan perdagangan dan pelaburan.
Sebagai ahli pengasas BRICS, India sebelum ini memegang jawatan Pengerusi sebanyak tiga kali iaitu pada 2012, 2016 dan 2021. India mengambil alih sebagai Pengerusi BRICS keempat pada 1 Januari 2026.
Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di New Delhi adalah atas kapasitinya sebagai Negara Rakan BRICS sejak 1 Januari 2025.
Beberapa jam selepas tiba di ibu negara India, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Pada Sabtu (12 September), Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Modi di Hyderabad House, Rumah Tetamu Negara Perdana Menteri India, selain Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev dan Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali di luar sidang kemuncak berkenaan.
Anwar turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan beberapa tokoh utama industri di India.
Beliau akan menghadiri jamuan makan malam gala untuk para pemimpin negara anggota, negara rakan kongsi serta negara jemputan BRICS di Bharat Mandapam, pusat pameran dan konvensyen yang menjadi lokasi berlangsungnya sidang kemuncak berkenaan.
Pada Ahad (13 September), Perdana Menteri akan menghadiri sesi pembukaan Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 dan menyampaikan Kenyataan Negara bertajuk ‘Membentuk Masa Depan ke arah Pertumbuhan Global yang Inklusif’.
Selepas itu, Anwar akan meneruskan lawatan kerja beliau ke Keralam (nama rasmi baharu bagi Kerala), sebuah negeri yang terletak di Pantai Malabar, selatan India.
Di Keralam, beliau akan bertemu dengan Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pembangunan masyarakat, pemerkasaan pendidikan serta kesefahaman dan keharmonian interaktif keagamaan.
Sebagai sebahagian daripada lawatan tersebut, Perdana Menteri dijadualkan bertemu dengan Ketua Menteri Kerala Thiru VD Satheesan dan Gabenor Keralaman Thiru Rajendra Vishwanath Arlekar.
Hubungan diplomatik moden antara Putrajaya dan New Delhi terjalin pada 1957, tidak lama selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, dan India kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah USD18.55 bilion (RM79.33 bilion) pada 2025.
Perdana Menteri akan berlepas ke Maldives pada 14 September ini.





