DATUK Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang atas kejayaan bersejarah muncul juara acara keirin lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Menerusi hantaran di platform X hari ini, Perdana Menteri berkata, kejayaan itu menamatkan penantian selama 16 tahun buat Mohd Azizulhasni yang juga dikenali dengan ‘The Pocket Rocketman’ untuk bergelar juara keirin temasya sukan berprestij itu.
“Kejayaan ini adalah hasil kesungguhan, ketabahan dan semangat juang yang tidak pernah luntur, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa serta menyuntik inspirasi kepada seluruh rakyat,” kata Perdana Menteri dalam hantarannya.
Terdahulu, Mohd Azizulhasni meraih emas acara keirin lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow awal pagi tadi.
Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu mengatasi pelumba Australia Leigh Hoffman dan wakil England Harry Ledingham-Horn, yang masing-masing meraih perak dan gangsa.






