LEMBAGA Tabung Haji (TH) sepatutnya merekodkan kerugian bersih sekitar RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017 sekiranya mengguna pakai piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS), berbanding keuntungan bersih RM3.4 bilion yang dilaporkan.
Perkara itu dimaklumkan TH sebagai maklum balas kepada laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung penyata kewangan bagi tahun kewangan 2017 yang tidak mengguna pakai MFRS sepenuhnya.
Sebagai sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah undang-undang Persekutuan, TH tertakluk Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 (Akta 240), yang mewajibkan penyediaan penyata kewangan berdasarkan prinsip-prinsip perakaunan yang diiktiraf umum, dengan di Malaysia, piawaian tersebut adalah MFRS.
“Sekiranya piawaian MFRS diguna pakai sepenuhnya ketika itu, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih sekitar RM1.4 bilion, berbanding keuntungan bersih RM3.4 bilion yang dilaporkan bagi tahun kewangan tersebut,” jelas TH.
Menurut TH, RCI berpendapat penggunaan kaedah Realisable Asset Value (RAV) adalah tidak selaras dengan Seksyen 22 Akta Tabung Haji berkaitan penilaian aset kerana RAV tidak direkodkan dalam penyata kewangan TH yang diaudit.
“Dapatan ini memperkukuh keperluan untuk memastikan penyata kewangan disediakan secara telus, konsisten dan mematuhi piawaian perakaunan yang ditetapkan,” maklum TH.
Laporan RCI juga menyatakan pendekatan diambil TH dalam mengagihkan keuntungan dari tahun 2014 hingga 2017 adalah tidak mematuhi Seksyen 22 Akta Tabung Haji.
Agihan keuntungan, menurut TH hendaklah dibayar daripada keuntungan sebenar dan bukannya daripada dana pendeposit sendiri.
“Menurut RCI, amalan itu memberi kesan kepada rizab kewangan TH serta mewujudkan jangkaan berterusan terhadap kadar agihan keuntungan yang tinggi dalam kalangan pendeposit.
“Kedudukan kewangan TH pada 2014 sehingga 2017 menunjukkan jurang defisit aset-liabiliti yang terus berkembang daripada RM352 juta kepada RM4,093 juta.
“Sebelum ini, agihan keuntungan diisytiharkan sebelum auditan ke atas penyata kewangan dimuktamadkan.
Sehubungan itu, RCI mengesyorkan agihan keuntungan hanya diisytiharkan berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit, selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan dan kemampanan kewangan,” katanya.
TH memaklumkan pihaknya menyambut baik syor itu dan melaksanakan pendekatan berkenaan sejak 2022, dengan kini agihan keuntungan hanya diumumkan berdasarkan keputusan kewangan yang telah diaudit, sekali gus memperkukuh integriti proses pelaporan kewangan dan meningkatkan keyakinan pendeposit terhadap institusi.
Hasil daripada pelaksanaan reformasi tadbir urus, penambahbaikan pengurusan risiko serta pengukuhan strategi pelaburan, katanya prestasi kewangan TH terus menunjukkan perkembangan positif.
“Agihan keuntungan telah meningkat daripada 3.10 peratus bagi tahun kewangan 2023, kepada 3.25 peratus pada 2024, sebelum mencapai 3.50 peratus pada 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan TH untuk mengurus simpanan lebih 9.8 juta pendeposit secara berhemat, telus dan mampan, selaras dengan mandat institusi sebagai pengurus dana umat Islam serta pemudah cara ibadah haji negara,” menurut TH.






