PM umum peruntukan lebih RM31 juta pacu pembangunan Pulau Banggi

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan khas lebih RM31 juta bagi memacu pembangunan di Pulau Banggi, sekali gus memastikan penduduk di pulau terbesar Malaysia itu tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata, peruntukan menerusi Kerajaan Persekutuan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri itu merangkumi pembangunan jalan raya, jambatan, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kemudahan jeti.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, projek terbabit meliputi naik taraf jalan dan jambatan di Kampung Limbuak Laut, Kapitangan, Damaran dan Bayangan Laut selain penambahbaikan Balai Polis Pulau Banggi serta fasiliti kesihatan di Klinik Kesihatan Karakit.

Turut disenaraikan projek menaik taraf asrama sekolah di Pulau Banggi dan Pulau Balambangan, pelaksanaan projek berkaitan keselamatan dan pertahanan negara oleh Kementerian Pertahanan serta naik taraf Jeti Awam Karakit kepada terminal feri.

“Saya mahu Pulau Banggi ini menjadi contoh rakyat rata-rata sedikit miskin atau terpencil tidak terbiar…Kerajaan MADANI ini merasa tanggungjawab angkat martabat dan keupayaan tiap rakyat,” kata Anwar ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Penduduk Pulau Banggi di Kudat hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin.

​Mengenai infrastruktur pengangkutan darat pula, Anwar berkata, projek menaik taraf Jalan Kampung Limbuak Laut ke Kampung Pengkalan Darat kini sedang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dengan kos hampir RM44 juta.

​”Projek ini amat penting kerana jalan raya yang baik akan membuka akses ekonomi, pendidikan dan kesihatan kepada rakyat di kawasan pedalaman pulau ini,” kata beliau.

Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan tambahan kerajaan berjumlah RM1.25 juta yang akan diselaraskan oleh agensi-agensi di bawah Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Anwar berkata, dana tersebut akan memberi manfaat kepada penduduk menerusi pelaksanaan program pendidikan, pengupayaan institusi, teknologi hijau, kesihatan dan pembangunan insan.

Beliau berkata, bagi memperkukuh jaringan keselamatan serta kemudahan harian di kawasan pesisir, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM1 juta bagi menaik taraf jeti di Kampung Dogoton untuk kegunaan penduduk dan agensi penguat kuasa.

“Kerajaan juga bersetuju untuk menaik taraf jeti di Kampung Dogoton bagi kegunaan penduduk kampung dan agensi-agensi penguat kuasa berjumlah RM1 juta, iaitu kerja-kerja ini akan dilaksanakan oleh ICU Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau menegaskan, kedudukan geografi pulau yang jauh bukan alasan untuk komuniti di kawasan itu terus ketinggalan, sebaliknya Kerajaan MADANI memikul tanggungjawab besar membela nasib seluruh rakyat tanpa mengira lokasi penempatan mereka.

“Usaha berterusan akan sentiasa digerakkan bagi menjamin setiap rakyat berpeluang menikmati taraf hidup yang lebih baik berbanding sebelumnya,” kata beliau.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img