MALAYSIA tidak akan membiarkan negara menjadi `bidak catur’ mana-mana kuasa besar dalam persaingan geopolitik telekomunikasi global, sebaliknya kekal dengan pendirian berkecuali bagi memastikan pembangunan infrastruktur digital negara tidak dipengaruhi kepentingan pihak tertentu.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendirian itu menjadi asas kepada keputusan kerajaan melaksanakan peralihan daripada model rangkaian borong tunggal kepada dwirangkaian 5G, sekali gus memastikan keseimbangan dalam penggunaan teknologi dan penyedia peralatan telekomunikasi.
Beliau berkata, keputusan berkenaan bukanlah suatu yang mudah kerana Malaysia perlu mengemudi pelbagai kepentingan geopolitik termasuk pandangan berbeza daripada wakil diplomatik negara asing.
“Malaysia is a neutral country (Malaysia sebuah negara berkecuali) . Kita akan berdagang dengan sesiapa nak berdagang dengan kita, berkawan dengan sesiapa nak berkawan dengan kita. Kita tidak akan jadi orang kata a chess piece, a pawn to anyone,” katanya ketika berucap pada majlis bersama diaspora Malaysia di Doha, Qatar hari ini, lapor Bernama.
Pertemuan itu antara pengisian lawatan kerja Fahmi ke Doha bersempena dengan Persidangan Plenipotentiary Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26).
Fahmi berkata, beliau sendiri ditugaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menguruskan peralihan sistem 5G negara yang mempunyai implikasi geopolitik besar.
Sebelum perubahan dasar itu dilaksanakan, Malaysia hanya mempunyai satu penyedia rangkaian 5G yang menggunakan peralatan daripada satu sumber sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk mewujudkan keseimbangan bagi mengelakkan negara terperangkap dalam persaingan geopolitik kuasa besar.
Beliau berkata, kejayaan Malaysia menguruskan cabaran itu turut mendapat perhatian Persatuan Sistem Komunikasi Mudah Alih Global (GSMA), yang melihat pendekatan negara sebagai contoh dalam mengimbangi kepentingan teknologi dan geopolitik.
Pengiktirafan itu antara faktor Malaysia dipilih menjadi tuan rumah M360 ASEAN selama tiga tahun selepas mengatasi lima negara lain yang turut berminat menganjurkan acara berkenaan.
“Kita berjaya mengatasi lima negara lain yang turut memohon untuk menjadi tuan rumah dan kini acara itu diadakan di Kuala Lumpur. Ini satu pencapaian penting,” katanya.
Fahmi berkata, penganjuran M360 ASEAN bukan sahaja membuka peluang kepada Malaysia mengetengahkan Kuala Lumpur sebagai hab acara telekomunikasi serantau, malah memperlihatkan keupayaan negara menguruskan isu dasar dan teknologi yang kompleks.
Beliau berkata, Malaysia turut mencatat kemajuan pesat dalam pelaksanaan 5G dengan kadar penggunaan yang tinggi dalam tempoh singkat, selain menawarkan perkhidmatan Internet pada harga berpatutan.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi itu berkata, Malaysia berhasrat memperkukuh pengaruhnya dalam penetapan piawaian telekomunikasi antarabangsa menerusi pencalonan semula sebagai anggota Majlis ITU.
Beliau berkata, keanggotaan itu penting bagi memastikan Malaysia mempunyai suara dalam perbincangan dan penggubalan piawaian antarabangsa melibatkan 5G, 6G, telekomunikasi satelit serta komunikasi selamat kuantum.
Fahmi kini berada di Doha bagi mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP-26 dari 6 hingga 11 November ini.
Lawatan kerja ke Doha itu turut membawa misi penting Malaysia untuk mempertahankan kerusi Ahli Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.
Fahmi diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Mano Verabathran.
Delegasi Malaysia turut disertai wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pemain industri telekomunikasi negara, antaranya Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.





