KERAJAAN memperuntukkan RM2.5 juta bagi menjadikan beberapa masjid terpilih di Kelantan sebagai pusat kemudahan dialisis menerusi Projek Dialisis Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama Radicare.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan dialisis, khususnya penduduk yang berdepan kesukaran mendapatkan kemudahan berkenaan kerana faktor jarak.
“Kerajaan melalui Projek Dialisis Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama Radicare untuk memudahkan orang ramai menerima kemudahan dialisis.
“Ini kerana kemudahan dialisis jauh, jadi sekarang kita gunakan masjid sebagai pangkalannya dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sebarkan Salam dan Kota Bharu Berselawat di Dataran Muhammadi, Kota Bharu, hari ini.
Anwar turut mengumumkan peruntukan RM645,000 bagi pelaksanaan projek wakaf air dan pemasangan sistem solar di beberapa masjid di Kelantan.
Beliau berkata, peruntukan itu disediakan bagi membantu masjid yang berdepan masalah bekalan air serta gangguan bekalan elektrik.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.





