Kerajaan beri peluang pelajar pondok ke universiti – Anwar

KERAJAAN komited membuka laluan dan memberi peluang kepada pelajar institusi pondok untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi termasuk di universiti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan sistem pendidikan pondok tidak dipinggirkan, sebaliknya diiktiraf dan diperkasa agar penuntutnya mampu bersaing dalam arus pembangunan negara tanpa mengorbankan asas keilmuan Islam.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ringkas selepas menunaikan solat Maghrib di Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah, Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, malam ini, lapor Bernama.

Menurutnya, institusi pondok bukan sekadar pusat pengajian dan penyebaran ilmu agama, sebaliknya memainkan peranan lebih luas sebagai benteng mempertahankan akidah serta tunjang kekuatan ummah.

Katanya, warisan keilmuan Islam bukan sahaja mendidik masyarakat, malah berperanan memelihara nilai agama, jati diri dan keharmonian negara.

Anwar berkata, kerajaan tidak akan sesekali meminggirkan kepentingan institusi pondok, sebaliknya akan terus memperbaiki sistem pendidikan berkenaan termasuk membaik pulih pondok-pondok di negara ini bagi memberi keselesaan kepada pelajar.

Terdahulu, Anwar menyampaikan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubuk Tapah.

Majlis itu dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau turut menunaikan solat Maghrib bersama lebih 100 penduduk sekitar kampung berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here