DATUK Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menziarahi ulama besar al-Azhar, Al-‘Allāmah Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Ahmad al-Shihawi al-Husaini al-Asy‘ari al-Syafi‘i, dalam kunjungan ke Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya petang tadi.
Menerusi pertemuan itu, Perdana Menteri berkata, beliau menerima pesanan berkaitan kepentingan memelihara tradisi keilmuan Islam, khususnya khazanah ilmu turath yang menjadi penghubung kepada warisan keilmuan generasi terdahulu.

Menurut beliau, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz merupakan ulama kelahiran al-Mahallah al-Kubra, al-Gharbiyyah, Mesir selain antara tokoh besar dalam kalangan ulama Syafi‘iyyah di al-Azhar.
Beliau turut dikenali sebagai Syeikh bagi Mashaikh Mazhab Imam al-Syafie serta Syeikh bagi Tariqah Shahawiyyah Burhamiyyah.
“Syeikh merupakan ahli fiqh dan pengajar ilmu qiraat di al-Jāmi‘ al-Azhar yang tekun dengan tradisi talaqqi kitab turath.
“Kekuatan hafazan beliau juga luar biasa, termasuk menghafaz dalam pelbagai cabang ilmu agama, hadith dan qiraat al-Quran,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau malam ini.
Anwar berkata, antara perkara yang ditekankan Syeikh dalam pertemuan itu adalah tanggungjawab generasi hari ini untuk memastikan khazanah ilmu turath terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Katanya, kekuatan institusi al-Azhar antaranya berpaksikan kepada tradisi sanad serta kesinambungan pengajian ilmu yang dipertahankan secara turun-temurun.
Dalam masa sama, menurut Anwar, perkembangan teknologi tidak sewajarnya dilihat sebagai ancaman kepada tradisi ilmu, sebaliknya boleh dimanfaatkan sebagai medium untuk mendokumentasikan serta melestarikan khazanah tersebut.
Anwar turut memetik pesanan Imam al-Syafie yang mengingatkan mengenai kesungguhan dalam menuntut ilmu.
“Barang siapa tidak merasakan kepayahan belajar walau sesaat, akan meneguk pahitnya kejahilan sepanjang hayat,” katanya.
Perdana Menteri turut mendoakan agar Syeikh ‘Abd al-‘Aziz sentiasa dikurniakan kesihatan dan afiat serta dipanjangkan usia dalam keberkatan.
Beliau berharap ilmu yang dicurahkan ulama berkenaan terus memberi manfaat dan menjadi amal jariah yang mengalir pahalanya.





