POLIS Melaka sedang mengesan seorang penghantar barang selepas disyaki bertindak ganas mencederakan isterinya termasuk menggunakan motosikal baru-baru ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, laporan berhubung insiden itu diterima daripada ibu mangsa berusia 51 tahun semalam selepas video mengenai kejadian itu tular dalam media sosial, awal pagi Ahad lalu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita berusia 20 tahun itu diserang oleh suaminya yang berusia 22 tahun di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan Kota Shahbandar kira-kira jam 4 pagi.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek bertindak memukul serta menampar mangsa.
“Malah video tular itu turut memaparkan suspek menarik rambut mangsa sebelum melanggar bahagian kepala wanita itu menggunakan motosikal yang ditunggangnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala dan pipi kanan.
Katanya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka dan dirawat di Zon Merah sebelum dia dibenarkan pulang dan dibawa oleh ibunya ke kediaman mereka di Tanjung Minyak Perdana.
Menurut Dzulkhairi, ibu mangsa kemudian tampil membuat laporan polis kerana bimbang terhadap keselamatan anaknya.
“Bagaimanapun, pada malam hari yang sama kira-kira jam 9 malam, ibu mangsa mendapati pintu belakang rumahnya dibuka.
“Dia mendapati mangsa bersama anak lelakinya berusia dua tahun tiada di rumah dipercayai mengikut suspek,” katanya.
Katanya, sehingga kini mangsa tidak dapat dihubungi dan khuatir akan keselamatan mereka dua beranak.
Tambahnya lagi, usaha mengesan suspek serta mangsa dan anaknya sedang giat dijalankan.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.


