PASUKAN Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang berjaya menumpaskan cubaan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang menerusi laluan laut menggunakan bot nelayan tempatan, pada 17 Julai lalu.
Dalam kejayaan itu, dua lelaki warga Indonesia berusia 30 dan 51 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan penyeludupan tersebut.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi dijalankan pihaknya menerusi Unit Risikan Marin Pulau Pinang dengan kerjasama Bot Ronda PSC 60 dan PSC 45 dalam Ops Taring Gelora.
Beliau berkata, semasa rondaan dijalankan pihaknya mengesan bot fiber dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Rimau.
“Ketika diarah berhenti bagi pemeriksaan, suspek bertindak memecut laju bot yang dikendali serta melakukan pelbagai aksi berbahaya untuk mengelak daripada ditahan.
“Bagaimanapun, hasil kecekapan, keberanian dan tindakan pantas anggota PPM, bot berjaya dipintas selepas berlaku aksi mengejar selama 30 minit di perairan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan,” katanya dalam sidang media di Markas PPM Batu Uban di Georgetown hari ini, lapor Harian Metro.
Mohd Yusri berkata, hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 113.776 kilogram (kg) dadah disyaki syabu yang dianggar bernilai lebih RM5.69 juta yang disimpan di dalam beberapa karung di ruangan khas bahagian hadapan bot itu.
Selain itu, turut dirampas ialah sebanyak 3,497 katrij rokok elektronik (vape) mengandungi cecair disyaki methamphetamine seberat 6.3 kg dengan anggaran nilai RM315,000 serta bot fiber yang dipercayai digunakan sebagai pengangkutan sindiket.
“Secara keseluruhannya, nilai rampasan termasuk bot yang digunakan dianggarkan berjumlah lebih RM6.1 juta.
“Rampasan ini bukan sekadar menggagalkan cubaan penyeludupan dadah ke luar negara, malah berjaya menghalang pengedaran dadah yang dianggarkan boleh digunakan lebih 570,000 penagih.
“Manakala cecair dadah di dalam katrij vape itu pula mampu dibekalkan kepada kira-kira 31,500 penagih jika ia terlepas ke pasaran,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai bertindak sebagai transporter laut yang membawa bekalan dadah keluar dari negara ini sebelum dihantar ke Indonesia dengan upah sebanyak RM10,000.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam perkembangan lanjut, Mohd Yusri berkata, sehingga Jun 2026, Ops Taring Gelora yang dilaksana PPM Wilayah Satu Pulau Pinang merekodkan sebanyak 337 kes membabitkan sembilan tangkapan dengan nilai rampasan berjumlah RM226,150.
“Manakala bagi keseluruhan kejayaan operasi sepanjang tempoh sama, sebanyak 361 kes berjaya direkodkan dengan 49 tangkapan serta nilai rampasan keseluruhan mencecah lebih RM10.4 juta,” katanya.






