POLIS memohon perintah reman terhadap seorang guru wanita yang dipercayai merempuh dua pelajar sekolah sehingga mengorbankan seorang daripadanya dalam kejadian di hadapan surau sebuah sekolah, semalam.
Suspek berusia 57 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pagi ini bagi proses permohonan reman.
Wanita berkenaan tiba kira-kira jam 8.40 pagi dengan menaiki trak polis dan memakai pakaian lokap.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu membabitkan dua pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati pemandu wanita berkenaan dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan terbabas sebelum merempuh kedua-dua mangsa.
Akibat kejadian itu, seorang pelajar Tingkatan Satu meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi pelajar parah dan kini menerima rawatan di hospital.


