POLIS mengesahkan telah mengambil keterangan pengadu, tiga saksi serta suspek berhubung insiden seorang lelaki ditumbuk yang tular di media sosial, dipercayai berlaku pada 20 April lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10 pagi di hadapan rumah mangsa di Titi Gajah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 38 tahun dipercayai mempunyai perselisihan faham dengan isteri suspek dua hari sebelum kejadian.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek berusia 41 tahun telah menumbuk mangsa sehingga terjatuh di hadapan rumahnya,” katanya ketika dihubungi.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah(HSB) untuk menerima rawatan dan dimasukkan ke wad kecemasan.
Doktor mengesyaki mangsa mengalami kecederaan dalaman di bahagian kepala dan telah memberikan ubat sawan selain menahan mangsa untuk pemerhatian lanjut.
“Rakaman percakapan mangsa sudah diambil dan mangsa memaklumkan dia menerima rawatan di wad kecemasan HSB oleh doktor bertugas dan diberikan ubat sawan serta dipantau kerana mengalami muntah dan pening,” katanya.
Tambahnya, laporan polis berhubung kejadian itu diterima di Balai Polis Kepala Batas pada Rabu lalu.
“Siasatan lanjut mendapati insiden ini berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan isteri suspek sebelum kejadian.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, rakaman video berdurasi satu minit 22 saat tular memaparkan seorang lelaki ditumbuk oleh individu lain sehingga terjatuh, selain menunjukkan beberapa lelaki berada di lokasi kejadian.


