Video tular kanak-kanak dikasari pengasuh: Polis minta saksi tampil buat laporan

POLIS meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tampil membuat laporan susulan penularan video di media sosial mengenai kanak-kanak didakwa diperlakukan secara kasar oleh pengasuh dan ditinggalkan di laman belakang rumah.

Video tular itu memaparkan seorang wanita dipercayai pengasuh memukul kanak-kanak terbabit sebelum meninggalkannya sendirian di belakang rumah sambil mangsa kedengaran menangis dan menjerit.

Difahamkan, kejadian itu didakwa berlaku di kawasan kejiranan di Sendayan.

Di ruangan komen media sosial, seorang pengguna mendakwa sering mendengar tangisan kanak-kanak berkenaan sebelum bertindak menghalakan kamera litar tertutup (CCTV) ke arah rumah jirannya kerana bimbang terhadap keselamatan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, setakat jam 5 petang tadi, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

“Pihak polis sudah mengesan video tular ini dan sedang membuat semakan lanjut. Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan diterima daripada mana-mana individu.

“Kita juga masih belum dapat mengenal pasti lokasi sebenar kejadian,” katanya.

Menurutnya, tindakan lanjut boleh diambil sebaik lokasi sebenar kejadian dikenal pasti, terutama jika insiden itu benar-benar berlaku dalam daerah Seremban.

“Jika kejadian ini berlaku di kawasan Seremban, polis memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi.

“Kita juga meminta orang ramai atau pemilik rakaman tampil membantu menyalurkan maklumat bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img