Polis tahan dua pelajar rempuh anggota, lari sekatan jalan raya

POLIS menahan dua pelajar lelaki selepas dipercayai merempuh seorang anggota polis ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya, dalam Ops Samseng Jalanan di Taman Panchor Jaya di Seremban semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata kedua-dua remaja masing-masing berusia 14 dan 15 tahun yang menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 itu, ditahan kira-kira jam 6.45 petang.

“Kedua-dua mereka bertindak agresif dengan cuba melarikan diri dan turut merempuh seorang anggota polis, sehingga menyebabkan kecederaan di kepala, pergelangan kaki kanan, tangan kanan dan pinggang.

“Anggota polis terbabit menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tuanku Ja’afar dan dibenarkan pulang, selepas pemeriksaan mendapati tiada kecederaan serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny berkata, hasil ujian air kencing terhadap kedua-duanya remaja didapati negatif dan remaja berusia 14 tahun yang juga penunggang, direman dua hari sehingga esok.

Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 186 dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Alzafny berkata sebanyak 49 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi selama enam jam, termasuk tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu dan ubah suai ekzos selain 12 motosikal disita.

“Sepanjang operasi, polis turut menjalankan pemeriksaan ke atas 25 orang individu dan daripada jumlah itu, 20 orang beralamat di Seremban dan lima lagi dari luar Seremban. Sebanyak 20 buah motosikal telah diperiksa,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img