Laporan siasatan jenayah kewangan dibawa ke Kabinet sebelum dimaklum kepada awam – AGC

SEBARANG laporan hasil siasatan Jawatankuasa Khas Siasatan Berkaitan Isu Jenayah Kewangan, Jabatan Peguam Negara (AGC) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan tindakan sebelum dimaklumkan kepada orang awam.

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan jawatankuasa itu diberi mandat untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap susur galur jenayah kewangan dari peringkat awal.

“Siasatan akan dilaksanakan secara telus dan komprehensif tanpa terbatas kepada mana-mana individu atau syarikat tertentu bagi memastikan semua aspek yang berkaitan diteliti secara menyeluruh berdasarkan fakta dan bukti diperoleh,” menurut kenyataan itu.

AGC memaklumkan mesyuarat pertama jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar hari ini bagi menetapkan keanggotaan jawatankuasa serta skop dan parameter siasatan.

Mesyuarat itu dihadiri wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.

“Pelaksanaan siasatan akan melibatkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan berkaitan bagi memastikan tindakan yang teratur dan bersepadu,” menurut kenyataan itu.

Pada 20 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat mengumumkan AGC diberi mandat untuk mengetuai dan menyelaraskan beberapa siasatan jenayah kewangan berprofil tinggi.

Anwar memberi jaminan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti jenayah korporat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here