PAKATAN Harapan (PH) menyeru rakyat Johor agar membuat keputusan terbaik dalam memilih kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan, menyusuli pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata gabungan itu sudah menggerakkan jentera bagi menghadapi PRN, yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang.
“PH Johor percaya Bangsa Johor akan membuat keputusan yang terbaik dalam memilih kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH,” katanya kepada FMT.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Keputusan ini dibuat dengan niat untuk memastikan rakyat bangsa Johor terus memiliki sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh,” kata Onn pada sidang media di kediaman rasmi.
PRN akan perlu diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang. Ketika ini Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri dengan 40 daripada 56 kerusi, yang dimenangi pada PRN 2022.
PH memenangi 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi, dan Muda satu.
Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pilihan raya bukan sekadar pertandingan politik, tetapi medan untuk menawarkan penyelesaian yang lebih baik kepada rakyat khususnya dalam isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi negeri, integriti pentadbiran dan masa depan negara.
Sehubungan itu, beliau saya menyeru seluruh kepimpinan, jentera dan ahli-ahli parti komponen PN agar memberikan fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi pilihan raya ini dengan semangat kebersamaan, disiplin serta kesatuan tindakan.
‘’Perikatan Nasional akan memasuki gelanggang pilihan raya ini dengan penuh tanggungjawab, matang dan profesional serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
‘’Saya juga berharap seluruh jentera dapat mengelakkan sebarang bentuk provokasi melampau, politik kebencian dan perpecahan, sebaliknya menampilkan politik yang lebih tenang, berfakta dan berorientasikan solusi,’’ katanya.
Beliau berkata, dengan kerjasama semua pihak serta sokongan rakyat, Perikatan Nasional akan terus membawa agenda pentadbiran yang stabil, bersih dan prihatin demi masa depan Johor dan Malaysia yang lebih baik.


