PELBAGAI produk makanan, kesihatan dan kosmetik yang dipercayai tidak mematuhi keperluan perundangan bernilai RM675,112 dirampas menerusi tiga siri serbuan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu dan Putatan, pada 22 dan 23 Oktober lalu.
Rampasan itu dilakukan menerusi Op Taring Alpha 5 membabitkan premis di sebuah pusat beli-belah di bandar raya Kota Kinabalu, Inanam dan Putatan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan pertama di Centre Point Sabah pada 22 Oktober membawa kepada rampasan 577 produk makanan diproses dan sejuk beku serta 251 produk kesihatan dan kosmetik yang dipercayai berasal dari Filipina.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dalam serbuan berkenaan dianggarkan RM262,800.
“Pada hari sama, operasi di Inanam pula membawa kepada rampasan 526 paket produk makanan sejuk beku dan 313 unit produk kesihatan serta kosmetik bernilai RM192,312.
“Serbuan ketiga di Putatan pada 23 Oktober pula berjaya merampas pelbagai produk makanan diproses dengan nilai keseluruhan RM220,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Mess Pegawai Ibu Pejabat Briged Sabah, PGA Kinarut, di Kota Kinabalu, hari ini, lapor Harian Metro.
Menurutnya, dalam serbuan di Putatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) merampas 2,007 produk makanan diproses, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas 14,000 paket pelbagai produk makanan diproses.
Mohd Yusri berkata, siasatan awal mendapati premis terbabit dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan sementara, penjualan dan pengedaran produk berkenaan.
Katanya, bekalan bagi beberapa premis itu juga dipercayai diperoleh daripada pembekal tempatan dan luar negara sebelum diedarkan kepada pelanggan.
Semua barangan yang dirampas diserahkan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan, khususnya KKM dan DVS, untuk pemeriksaan, pengesahan, analisis serta tindakan lanjut.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman dengan kerjasama polis daerah, Pasukan Polis Marin (PPM), KKM, DVS dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
“Polis akan terus mempergiat risikan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyimpanan serta pengedaran barangan yang menyalahi undang-undang,” katanya.





