KELEWATAN menyiapkan projek perolehan pertahanan sehingga berpuluh tahun, termasuk membabitkan pesawat tentera dan kapal perang, menimbulkan persoalan terhadap keupayaan negara memperkukuh aset ketenteraan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu turut diburukkan dengan penggunaan ejen yang mengenakan komisen tinggi dalam urusan perolehan aset pertahanan.
Lebih membimbangkan, kata beliau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih mengoperasikan aset yang semakin berusia ketika beberapa projek perolehan baharu masih belum disiapkan.
“Dalam melakar belanjawan, Kementerian Pertahanan beli pesawat buat kapal berpuluh tahun tak siap-siap. Guna ejen, komisen tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara 515, di ibu negara hari ini, lapor Buletin TV3.
Anwar berkata, beliau sendiri berpeluang melihat keadaan kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika mengadakan lawatan ke Langkawi sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA).
Katanya, kehadiran kapal tentera laut dari beberapa negara lain di lokasi sama membolehkannya membuat perbandingan terhadap usia dan keadaan aset yang dimiliki negara.
Beliau menegaskan, isu kelewatan projek perolehan serta keadaan aset ketenteraan memerlukan perhatian serius bagi memastikan keupayaan pertahanan negara terus terpelihara.





