Proses damai berjaya jika BRN ubah pendekatan, hantar pemimpin sebenar berunding

Oleh Penulis Khas

Hamas telah membuat keputusan untuk menerima pelan damai 20 perkara yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump , Israel pula turut bersetuju walaupun Hamas menegaskan terdapat beberapa perkara perlu dirundingkan semula.

Tetapi sekurang-kurangnya persetujuan Hamas dan Israel itu akan menghentikan seketika pertempuran dan sekaligus akan membolehkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke Palestin khususnya Gaza tanpa disekat oleh rejim Zionis.  Menariknya persetujuan Hamas turut disokong oleh sayap-sayap pertubuhan itu di Tebing Barat.

Mereka tahu dalam usaha untuk mencapai pendamaian dan demi masa depan rakyat Palestin, mereka mesti bertolak ansur dan berkompromi bagi sesuatu perkara. Hamas juga bersetuju akan menghantar pemimpin utamanya ke Mesir, lokasi perjanjian pelan damai akan dimeterai.

Di Mesir nanti jika ada perkara yang tidak dipersetujui, pemimpin Hamas yang benar-benar ada kuasa akan membuat keputusan segera tanpa perlu merujuk kepada pihak atasan lagi.

Apabila melihat senario tersebut,  penulis teringat situasi di Selatan Thailand yang sehingga kini terus bergolak, bukan disebabkan oleh penjajahan oleh mana-mana pihak seperti mana berlaku di Palestin tetapi disebabkan sikap puak pemisah khususnya Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Terlalu banyak perkara berkaitan dengan BRN yang menyebabkan proses damai tertangguh, terganggu, tergendala dan tergugat. Tertangguh kerana BRN sering membuat permintaan yang bukan-bukan, terganggu kerana di meja rundingan BRN cakap lain, di belakang buat lain, tergendala disebabkan sehingga ke hari ini BRN masih belum mahu menghantar pemimpin utamanya berunding dan tergugat  disebabkan serangan demi serangan yang dilancarkan oleh BRN.

Justeru kita tidak tahu siapa sebenarnya yang berkuasa dalam BRN. Yang datang berunding orang lain, yang buat keputusan orang lain, yang membuat serangan orang lain! Kalau beginilah keadaannya sampai ke bilapun proses damai tidak akan berjaya.

BRN bercita-cita besar mahu memerintah sendiri sebab itulah mereka melancarkan propaganda untuk memerdekakan Pattani tetapi ia boleh dianggap sekadar ‘mimpi siang hari yang mengasyikkan’.

Ia kerana apa yang mereka tahu setakat ini hanya menyerang pasukan keselamatan, membunuh orang awam yang tidak berdosa dan memusnahkan infrastruktur yang disediakan oleh pemerintah Thailand sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

Kalau BRN benar-benar mahu terlibat membangunkan Selatan Thailand dan memajukan kehidupan penduduk Islam di wilayah itu, tumpuan utama diberikan kepada rundingan damai bukan asyik mahu berperang sahaja. BRN patut mencontohi kebijaksanaan Hamas di Palestin berhadapan dengan rejim Zionis yang diketuai oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Walaupun mereka bertempur setiap hari dengan tentera rejim Zionis tetapi apabila ada mana-mana pihak berusaha untuk melaksanakan rundingan damai, Hamas akan menerima dengan hati terbuka.

Hamas akan mematuhi apa juga kehendak pihak yang menganjurkannya bagi menjayakan rundingan tersebut. Jika ada perkara yang tidak dipersetujui, mereka akan menyatakan secara telus. Ia kerana bagi mereka apa yang penting ialah memastikan rundingan damai itu berjaya. Apabila rundingan damai itu berjaya maka ia akan membolehkan rakyat Palestin yang mereka perjuangkan akan hidup dengan selamat dan Palestin akan mengecapi kedamaian.

Tetapi sikap pemimpin  Hamas ini tidak ada kepada pemimpin-pemimpin BRN. Mereka masih lagi berdegil tidak mahu menghantar pemimpin utama ke meja rundingan. Macam-macam alasan mereka berikan walaupun pemerintah Thailand sudah menyatakan mereka mahu berunding dengan pemimpin sebenar BRN!

Malah Malaysia sebagai fasilitator pun mahu BRN menghantar pemimpin tertinggi atau pemimpin sebenar berunding bukannya menghantar mereka yang tidak ada apa-apa kuasa sehingga menyebabkan proses damai tidak ke mana dan hanya membuang masa.

Penulis tidak pasti apa masalahnya yang menghalang BRN untuk menghantar pemimpin sebenar mereka? Adakah kerana pemimpin itu takut untuk muncul atau disebabkan berlaku perpecahan dalam BRN?

BRN bercita-cita tinggi  tetapi kalau di peringkat pertubuhan pun berkeceramuk dan berpecah belah macam mana mahu memerintah Pattani. Selagi dalam kalangan pemimpin BRN sendiripun tidak ada kesepakatan hingga ada beberapa kelompok macam mana rundingan damai mahu berjaya?

Oleh itu, BRN perlu memastikan penyatuan di antara kepimpinan mereka dahulu sebelum mahu meneruskan proses rundingan damai. Apabila kesepakatan sudah dicapai, mereka MESTI menghantar pemimpin sebenar yang mendapat kepercayaan seluruh sayap dalam BRN untuk berunding dengan Pemerintah Thailand.

Selain itu, BRN juga tidak boleh memandang serong terhadap Pemerintah Thailand dengan tuduhan  yang bukan-bukan sehingga boleh menjejaskan rundingan berkenaan. Begitu juga dalam hubungan dengan NGO antarabangsa atau pihak asing.

BRN sepatutnya beri tumpuan kepada proses damai dengan pemerintah Thailand dan Malaysia sebagai fasilitator. Tidak perlu bersikap mahu ‘makan keliling’ iaitu di sini  berunding, selepas itu hasil perbincangan diberi maklumkan kepada pihak di luar negeri.

BRN perlu ingat zaman sudah berubah dan kedudukan BRN serta penduduk Islam di Selatan Thailand bukan seperti Hamas dan penduduk Palestin. Selatan Thailand adalah wilayah berdaulat milik Thailand, BRN adalah gerakan puak pemisah tetapi Hamas adalah pejuang rakyat Palestin bagi menghalau penjajah Israel dan penduduk Palestin khususnya di Gaza bersama dengan pejuang Hamas.

Seorang pengganas cuba melepaskan tembakan ke atas anggota keselamatan di Selatan Thailand  bagaimanapun serangan itu gagal.

Apakah BRN fikir dengan terus bersikap tidak bijak dengan melakukan serangan demi serangan, ia akan menyebabkan pemerintah Thailand akan tunduk? Apakah BRN ingat dengan membunuh anggota keselamatan dan orang awam yang menyebelahi  atau bekerja dengan pemerintah Thailand, tuntutan memerdekakan Pattani akan diperolehi? Usahlah bermimpi.

Terkini, pada 5 Oktober, ada cakap-cakap mendakwa anggota BRN mungkin terlibat melakukan merompak kedai emas dan meletupkan mesin ATM namun itu sekadar dakwaan, polis masih menyiasat.

BRN perlu mengelakkan terlibat dalam jenayah seperti itu kerana ia menjejaskan imej mereka dan akan dituduh BRN bukanlah berjuang berasaskan kepada ideologi untujk pembebasan atau perjuangan untuk rakyat di wilayah sempadan selatan Thailand. Sebaliknya, , Kumpulan BRN hanyalah kumpulan jenayah yang kejam, berkepentingan untuk mencari kekayaan dan kesenangan diri sendiri, tidak ada bezanya dengan kumpulan jenayah lain yang wujud di seluruh dunia.’

Kesimpulannya, untuk sekian kalinya, penulis berpendapat BRN perlu benar-benar serius menjayakan proses rundingan damai kali ini. Apatah lagi pemerintah Thailand pun sudah menunjukkan komitmen mereka apabila melantik Ketua Tim Rundingan Damai yang baharu iaitu Jeneral Somsak Rungsita.

Kalau pemerintah Thailand tidak mahu berunding lagi dengan BRN sudah pasti mereka tidak akan membuat pelantikan berkenaan. Justeru BRN ubahlah sikap, ubahlah pendekatan dan ubahlah matlamat supaya mereka tidak menerima nasib ‘’yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’’.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img