KEMELUT bantahan MCA terhadap pembahagian kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih belum diselesaikan apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong mengeluarkan kenyataan berbeza berhubung hasil pertemuan bagi membincangkan perkara itu di Kuala Lumpur semalam.
Hari ini Ahmad Zahid memberitahu tidak timbul isu MCA akan menarik diri daripada PRN tersebut dan menganggap pertemuan berkenaan menunjukkan perkembangan positif.
Bagaimanapun beberapa jam kemudian Ka Siong mengeluarkan kenyataan dengan menegaskan,’’ Adalah terlalu awal untuk menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai positif pada peringkat ini.’’
Berikut kenyataan penuh Ka Siong:
Sebagai maklum balas terhadap kenyataan yang dibuat hari ini oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, saya ingin mengesahkan butiran pertemuan tersebut serta memberikan penjelasan lanjut seperti berikut:
- Sekitar jam 11 malam tadi, atas arahan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung BN, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah bertemu dengan saya dan seorang lagi pemimpin MCA di sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi membincangkan perkara berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Pertemuan tersebut berakhir sekitar jam 1 pagi.
- Ya, pertemuan itu berlangsung dalam suasana tenang dan mesra tanpa sebarang pertengkaran. MCA telah menyatakan dengan jelas rasa tidak puas hati kami terhadap pengagihan kerusi bagi PRN Melaka. MCA sentiasa berpegang pada prinsip dengan mengemukakan fakta, hujah secara rasional dan mengadakan perbincangan secara berhemah. Apabila timbul perbezaan pendapat, kami berusaha menyelesaikannya melalui rundingan dan dialog.
- Berhubung kenyataan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai perkembangan “positif”, saya berpandangan bahawa kita masih belum mencapai matlamat tersebut. Adalah terlalu awal untuk menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai positif pada peringkat ini. Kedua-dua pihak perlu meneruskan perbincangan, dan saya berharap satu titik penyelesaian dapat dicapai dalam tempoh satu atau dua hari lagi.
- Sebarang keputusan mengenai langkah MCA seterusnya serta pendirian muktamad parti berhubung PRN Melaka akan dibincang dan diputuskan secara kolektif oleh kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.
Terima kasih.





