Bekas guru mengaku tidak bersalah tuduhan rogol, cabul anak tiri

SEORANG bekas guru mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan di Kemaman hari ini atas pertuduhan merogol dan mencabul kehormatan anak perempuan tirinya dalam dua kejadian pada 2023 dan 2024.

Tertuduh yang berusia 59 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

Di Mahkamah Sesyen, lelaki itu didakwa merogol anak perempuan tirinya yang ketika itu berusia 25 tahun tanpa kerelaannya di sebuah rumah kedai di Kemasik kira-kira jam 2.20 petang pada 20 Mei 2024.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Hakim Wan Suhaila Mohd membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat supaya dia melapor diri di balai polis berhampiran pada minggu pertama setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hafiz Mohd Khair, lapor Harian Metro.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa melalui perbuatan meraba dan menyentuhnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan terhadap mangsa yang sama di dalam biliknya di sebuah rumah di Kijal, Kemaman antara jam 12.45 tengah malam hingga 1 pagi pada Oktober 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan berkenaan.

Majistret Marsha Abdul Malik membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Kes pendakwaan di Mahkamah Majistret dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Arif Mohd Amin manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Ariff Syarifuddin Saibi.

Kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 November depan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here