PELABURAN di bawah program GEAR-uP dijangka meningkat menjelang penghujung tahun ini dan berterusan pada 2027, dengan pelaksanaannya setakat ini masih mengikut jadual yang ditetapkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tahun pertama program itu memberi tumpuan kepada perancangan, kajian dan penelitian sebelum keputusan pelaburan dibuat, mengambil kira pengalaman lalu yang menuntut pendekatan lebih berhati-hati.
“Soal GEAR-uP ini memang benar tetapi kalau ikut dalam perancangan mereka, itu dia ‘pick up’ untuk akhir tahun ini dan tahun depan. Justeru, saya melihat daripada perkembangan dalam laporan terakhir, nampak masih ikut jadual,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mengenai langkah kerajaan mempercepat penyaluran pelaburan di bawah program berkenaan serta memastikan dana yang diperuntukkan tidak disalahgunakan.
Anwar turut menegaskan kerajaan tidak membenarkan campur tangan mana-mana tokoh politik dalam menentukan projek atau menetapkan keutamaannya.
“Projek itu mesti ditetapkan dan ada badan pelabur yang terdiri daripada golongan profesional dan mempunyai kepakaran tertentu,” katanya.
Terdahulu, menjawab soalan asal Syahredzan Johan (DAP-Bangi), Anwar berkata, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memberikan komitmen pelaburan langsung domestik berjumlah RM120 bilion bagi tempoh 2024 hingga 2028, berdasarkan keutamaan dan penilaian masing-masing.
Komitmen itu adalah tambahan kepada pelaburan sedia ada sebanyak RM440 bilion dalam pasaran awam domestik.
Menurut Anwar, penglibatan GLIC, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun dalam pembangunan negara bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi domestik selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.
Beliau berkata mandat GLIC dan GLC untuk menjana keuntungan akan terus dikekalkan, selain mengambil kira kepentingan agenda negara merangkumi warisan, Bumiputera dan pembangunan ekonomi tempatan.





