TINDAKAN beberapa menteri dan Ahli Parlimen Nepal mengunjungi kawasan terjejas banjir mencetuskan kritikan di media sosial di negara itu.
Netizan menganggap ,lawatan berkenaan sekadar gimik publisiti serta mempersoalkan penggunaan sumber kerajaan untuk tujuan tersebut.

Antara yang mengunjungi kawasan dilanda banjir ialah Ahli Parlimen Ashika Tamang dan Tika Sangraula, selain Menteri Undang-Undang, Keadilan dan Hal Ehwal Parlimen, Sobita Gautam; Menteri Kewangan, Swarnim Wagle; serta Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Penerbangan Awam, Khadak Raj Paudel (Ganesh).
Mereka dilaporkan menggunakan helikopter dan diiringi anggota keselamatan ketika melakukan lawatan ke kawasan yang terjejas, lapor nepalnews.com.
Sebahagian pengguna media sosial mempersoalkan keperluan menteri dan Ahli Parlimen menggunakan helikopter untuk ke kawasan bencana ketika operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan.
Menurut mereka, sumber kerajaan yang digunakan untuk membawa pegawai ke kawasan terlibat sepatutnya disalurkan kepada operasi kecemasan, termasuk mencari mangsa, menyelamatkan mangsa yang terperangkap serta mengagihkan bantuan.
Penggunaan anggota keselamatan untuk mengiringi para pegawai turut menjadi persoalan.
Pengkritik berpendapat tenaga kerja berkenaan mungkin boleh dikerahkan untuk membantu operasi mencari dan menyelamat, pengagihan bantuan, pemindahan mangsa serta tugas kecemasan lain.
Sesetengah pengguna media sosial menyifatkan lawatan berkenaan sebagai “gimik publisiti”, dengan alasan pemimpin sepatutnya mengutamakan bantuan praktikal kepada masyarakat yang terjejas berbanding melakukan lawatan yang mendapat perhatian umum.
Kritikan turut ditujukan terhadap tindakan sesetengah Ahli Parlimen ketika berada di kawasan bencana, dengan pengguna media sosial mempersoalkan sama ada kehadiran mereka benar-benar membantu operasi menyelamat atau sebaliknya menambah beban kepada anggota yang sedang bertugas.
Kecaman itu tercetus ketika pasukan keselamatan dan agensi kerajaan masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat, mengeluarkan mayat mangsa, memberikan bantuan perubatan serta mengagihkan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir.
Dalam keadaan operasi kecemasan masih berlangsung, pengguna media sosial menggesa pihak berkuasa memastikan setiap sumber kerajaan, termasuk helikopter dan anggota keselamatan, digunakan sebaik mungkin bagi membantu mangsa serta mempercepatkan usaha menyelamat.





