Remaja 14 tahun tercampak akibat kemalangan maut dilanggar 3 kenderaan

SEORANG remaja lelaki maut, manakala rakannya parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di Kilometer 75.6 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Ayer Hitam, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.30 pagi itu, Muhammad Ammar Zafran Khairul Nizam, 14, yang juga pembonceng mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Rakannya yang juga penunggang motosikal berusia 16 tahun pula cedera di tangan serta kaki, dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata insiden berlaku ketika tiga motosikal, termasuk yang ditunggang dua mangsa remaja itu sedang dalam perjalanan dari arah utara ke selatan.

Setiba di lokasi, beliau berkata, ketiga-tiga motosikal terbabit dipercayai berlanggar semasa sendiri menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan lebuh raya.

“Pada masa sama, sebuah bas, van dan kereta yang sedang datang dari arah sama dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa parah di kepala, tangan dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img