Dunia hiburan dikejutkan dengan berita pembunuhan tragis terhadap penyanyi dan model terkenal dari Argentina, Fede Dorcaz, yang mati ditembak di bandar raya Mexico malam Khamis lalu.
Mangsa, yang berusia 29 tahun dan menetap di Mexico bagi mengembangkan kerjayanya, ditembak ketika memandu kereta di kawasan perbandaran Miguel Hidalgo.
Menurut maklumat rasmi daripada pihak Sekretariat Keselamatan Awam Mexico City, serangan berlaku di bahagian pinggir Anillo Perifrico, di kawasan kejiranan Ampliacion Daniel Garza.
Fede dipercayai ditembak beberapa kali oleh individu yang menaiki dua motosikal sebelum mereka melarikan diri dari lokasi kejadian.
Pihak berkuasa menyiasat kejadian ini sebagai serangan langsung kerana tiada barangan peribadi milik mangsa dilaporkan hilang. Ini menimbulkan spekulasi bahawa pembunuhan itu mungkin telah dirancang, dan bukan bermotifkan rompakan.
Difahamkan, Fede Dorcaz cuba memecut kenderaannya ketika didekati oleh para penyerang, namun tidak sempat dan maut akibat kecederaan parah.
Pihak berkuasa kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan bagi mengenal pasti identiti penyerang. Pejabat Pendakwa Raya Bandar Raya Mexico telah membuka siasatan rasmi di bawah kategori pembunuhan dengan senjata api.
Fede Dorcaz, yang berasal dari Argentina, dikenali ramai melalui penglibatannya dalam dunia pemodelan dan muzik. Pembunuhan ini mencetuskan kesedihan dalam kalangan peminat dan rakan-rakan industri hiburan di kedua-dua negara.



