SEORANG lelaki warga Indonesia dihukum penjara 60 tahun dan 60 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan merogol anak kandungnya sehingga melahirkan seorang bayi perempuan.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tertuduh berusia 56 tahun itu untuk setiap pertuduhan, dan memerintahkan hukuman berjalan secara berasingan dari tarikh tangkap pada 23 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh didakwa merogol anak perempuan yang kini berusia 19 tahun yang mengikut hukum agama hubungan mangsa dengan tertuduh tidak dibenarkan untuk berkahwin, di sebuah unit kondominium di Taman Midah, Kuala Lumpur, antara 2 Okt 2021 hingga 30 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta maksimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan, lapor Bernama.
Berdasarkan fakta kes, mangsa dirogol enam kali oleh bapanya sehingga mangsa melahirkan seorang bayi perempuan, malah berdasarkan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan tertuduh merupakan bapa kandung kepada bayi itu.
Timbalan Pendakwa Raya Banusha Jegathesan memohon hukuman berat mengambil kira tertuduh merupakan bapa kandung yang diberi tanggungjawab menjaga anaknya, namun tertuduh bertindak sebaliknya.
“Mangsa dalam kes ini mengalami kemurungan melampu kerana kejadian ini berlaku berulang kali dan mangsa juga mempunyai niat untuk membunuh diri, namun terpaksa memikirkan bayi perempuannya yang kini berusia empat tahun.
“Tertuduh juga sebelum ini telah dituduh atas dakwaan mencabul anak mangsa. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman berat supaya memberi pengajaran kepada tertuduh agar orang awam tidak mengulangi kesalahan itu,” katanya.
Tertuduh tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah tinggal di negara ini selama 43 tahun.






