Kediaman Razif Sidek jadi sasaran rompakan bersenjata lelaki Rohingya

SEORANG lelaki etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di rumah bekas pemain badminton negara, Razif Sidek di ibu negara pada bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Fawyas Yasin, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Lelaki Rohingya terbabit didakwa melakukan kesalahan itu dengan bersenjatakan sebilah pisau di rumah Razif, 64, di Jalan Damansara, Taman Tun Dr Ismail, kira-kira jam 12.20 tengah hari pada 19 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 397, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya J Banusha membantah jaminan atas alasan kesalahan itu serius, selain memaklumkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik Mohamad Fawyas sudah tamat tempoh.

Beliau turut berhujah ada risiko tertuduh mengganggu saksi.

Peguam Mansheel Kaur bagaimanapun memohon jaminan diberikan dengan berkata, Mohamad Fawyas menyara isterinya yang tidak bekerja serta anak mereka berusia 10 bulan menggunakan pendapatan harian sebanyak RM50.

Beliau berkata anak guamnya, yang menetap di Malaysia sejak 15 tahun lalu dalam proses memperbaharui kad UNHCR.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan jaminan dan menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Razif mencipta kejayaan besar dalam acara beregu lelaki bersama adiknya, Jalani apabila mereka membentuk antara gandingan paling berjaya negara pada era 1980-an dan awal 1990-an.

Antara pencapaian utama dalam kariernya ialah memenangi pingat gangsa beregu lelaki di Sukan Olimpik Barcelona 1992.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img