Sasaran 500 PBS menjelang 2030 sedikit tersasar, JBPM akui cabaran logistik

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengakui sasaran menubuhkan 500 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) menjelang 2030 berdepan cabaran apabila pencapaiannya ketika ini sedikit tersasar daripada jajaran asal.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, setakat ini terdapat kira-kira 400 PBS di seluruh negara, namun tidak semuanya aktif.

“Buat masa ini kita nampak dia ada momentum terhadap penubuhan Pasukan Bomba Sukarela ini namun begitu saya terpaksa mengakui bahawa dia ada agak tersasar sedikit kepada jajaran awal untuk capai 500 pasukan.

“Ada yang aktif dan ada juga yang tidak aktif,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat JBPM, hari ini.

Menurutnya, bagi mencapai baki lebih 100 pasukan dalam tempoh lima tahun akan datang, faktor logistik dan penyediaan peralatan menjadi cabaran utama.

“Untuk capai berbaki lebih kurang 130 buah pasukan ini dalam masa lima tahun, ia dipengaruhi pelbagai faktor.

“Salah satu faktor utamanya ialah keupayaan kita untuk cuba membekalkan peralatan dan juga jentera kebombaan kepada pasukan ini.

Katanya, faktor itu akan menjadi nilai tambah dan mampu menarik lebih banyak penubuhan PBS di seluruh negara.

Beliau berkata, maklum balas daripada peringkat bawahan turut menunjukkan keperluan mendesak terhadap penyediaan kenderaan, sekurang-kurangnya kenderaan ringan bagi membantu operasi PBS.

Menurutnya, sekurang-kurangnya kenderaan ringan diperlukan bagi memastikan pasukan itu dapat beroperasi dengan lebih efektif.

“Kompetensi insya-Allah ada. Tapi kalau asyik berlatih saja tanpa peralatan, tak cukup juga.

“Jadi kita sedang cari kaedah supaya mereka dapat dibekalkan dengan peralatan dan jentera kebombaan,” katanya.

Terdahulu, JBPM dilaporkan optimis mampu mencapai sasaran 500 PBS menjelang 2030 berdasarkan momentum semasa serta sokongan kerajaan negeri dan komuniti setempat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img