JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya membongkar cubaan menyeludup dadah jenis syabu bernilai lebih RM15 juta melalui sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.
Rampasan pada 22 April lalu itu membabitkan 305.722 kilogram syabu hasil pemeriksaan ke atas kontena yang tiba dari Pelabuhan Klang.
Pengarah JKDM Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, pemeriksaan dilakukan kira-kira jam 11.30 pagi sebelum pihaknya menemui 15 kotak disyaki mengandungi dadah berbahaya itu.
Menurutnya, sindiket menggunakan taktik mengisytiharkan muatan sebagai ‘drink stuff’ atau barangan minuman bagi mengelirukan pihak berkuasa dan mengelak dikesan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, pihak JKDM akan terus memperketat kawalan di semua pintu masuk negara khususnya di pelabuhan bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang semakin licik.


