‘’Saya kata saya tak campur. Apa yang saya campur?’’ – Anwar ulas krisis NS

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak mencampuri urusan berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan sebarang pertikaian mengenai institusi diraja itu diselesaikan mengikut Perlembagaan serta undang-undang.

Beliau berkata dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan oleh Malaysia, sebarang tindakan terhadap kedudukan seseorang Raja tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu berlandaskan peruntukan Perlembagaan.

“Saya kata saya tak campur. Apa yang saya campur? Undang ambil keputusan. Ada pihak yang menyokong mereka, bagi pandangan, tak ada masalah. Saya tak mahu campur.

“Tapi Undang itu pun, yang mana sah, yang mana tak sah? Pilih, selesaikan yang itu,” katanya ketika berucap pada program Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pendang malam tadi.

Anwar berkata isu membabitkan kedudukan Raja tidak boleh dipandang ringan kerana Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang meletakkan institusi beraja dalam kerangka Perlembagaan.

Beliau berkata tindakan untuk menurunkan atau menggulingkan Raja tidak boleh dilakukan dengan mudah sebaliknya tertakluk kepada syarat dan proses yang diperuntukkan dalam Perlembagaan negeri.

“Bincanglah cara elok. Saya tak setuju semudah-mudah nak guling Raja. Tak boleh sistem kita begitu sebab itu Perlembagaan sangat jelas,” katanya.

Anwar berkata Perdana Menteri dan Jemaah Menteri juga mempunyai batas kuasa yang ditetapkan Perlembagaan, serta tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah perkara berkaitan institusi Raja-Raja Melayu.

“Perdana Menteri itu ketua eksekutif mentadbir negara. Had dia apa? Dia tidak boleh pinda Perlembagaan soal Islam, soal bahasa Melayu, soal hak semua orang Melayu, soal Raja-Raja,” katanya.

Beliau berkata prinsip itu perlu dipertahankan bagi memastikan sistem Raja Berperlembagaan tidak terhakis akibat tindakan yang tidak mengikut lunas Perlembagaan.

Anwar juga berkata isu berkenaan tidak boleh dianggap semata-mata sebagai isu politik sebaliknya membabitkan sistem negara yang perlu dipertahankan.

“Kalau kita orang Melayu, dalam soal Raja Melayu jadi tonggak ini pun kita berbalah, nak suruh orang hormat kita macam mana? Ini masalah kita kerana faktor kebencian, geram… soal perbezaan ini yang menyebabkan kita hilang pertimbangan dan hilang siuman,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here