SEJARAH Sungai Lembing di Pahang sebagai antara bandar perlombongan bijih timah terkenal di dunia bakal diangkat menerusi pementasan teater komuniti berskala besar, The Stories of Sungai Lembing.
Pementasan itu menjadi medium memperkenalkan semula sejarah, budaya, kehidupan dan perjuangan komuniti Sungai Lembing melalui pendekatan seni persembahan yang lebih dekat dengan masyarakat.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah, teater berdurasi 60 minit itu bukan sahaja bertujuan mengimbau kembali sejarah Sungai Lembing sebagai bandar perlombongan bijih timah terkenal dunia, tetapi turut menjadi platform memperkasa seni dan budaya komuniti, di samping merancakkan sektor pelancongan warisan di Pahang.

Kata beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, Ia juga selari dengan usaha kerajaan negeri mengangkat tapak warisan perlombongan bijih timah Sungai Lembing sebagai tapak warisan kebangsaan dan seterusnya berpotensi ke arah pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Kita lihat program teater Sungai Lembing ini merupakan satu program yang perlu diangkat untuk menjadi satu acara nasional, bukan hanya kepada masyarakat yang berada sekitar di negeri Pahang, tetapi harus menerokai potensi untuk mengamit pelancong-pelancong yang berada di luar negeri Pahang dan di luar negara.
“Ini kerana sejarah warisannya perlu dipeliharakan dan bagaimana untuk kita mengangkat seni budaya bukan hanya pementasan teater itu dari segi lakonan tetapi juga dari segi sudut lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi sidang media pementasan Teater Komuniti : The Stories of Sungai Lembing, di Putrjaya.
Menariknya, pementasan ini turut dilihat sebagai simbolik kepada pembukaan semula panggung wayang terawal di Pantai Timur, Panggung PCCL yang suatu ketika dahulu menjadi nadi kehidupan sosial masyarakat Sungai Lembing.
Pementasan itu diarahkan pengarah berpengalaman, Lokman Ghani, yang terkenal dengan sentuhan kreatif dalam dunia seni persembahan tempatan.
Ia turut menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Datuk Jalaludin Hassan dan Neera Azizi.
Mereka akan dibantu 27 orang komuniti tempatan yang terlibat secara langsung dalam keseluruhan produksi teater itu sebagai usaha memperkasakan bakat seni masyarakat setempat.
Pementasan The Stories of Sungai Lembing akan berlangsung dalam empat siri iaitu pada 13 Jun, 11 Julai, 15 Ogos dan 12 September dengan dua sesi tayangan bagi setiap pementasan pada jam 11 pagi dan 3 petang.
Selain persembahan utama, pengunjung turut akan disajikan dengan tayangan khas dan aktiviti sampingan yang menjadikan pengalaman seni dan warisan di Sungai Lembing lebih interaktif serta menarik kepada pelancong dan masyarakat.


